Thursday, October 11, 2012

Encik Si Pemecah Hati

Encik Shafaruddin Kamaruzaman bin Osman Kayakuthy. 
Pekerjaan, inspektor kesihatan. 
Umur 25 tahun. 
Status, bujang.

Encik Shafaruddin Kamaruzaman bin Osman Kayakuthy mempunyai dua ibu. Ibu kandungnya dan satu lagi ibu yang telah lama ditinggalkannya, ibu duit. Dia kini telah insaf. Mencari pekerjaan halal dengan mengesan nyamuk denggi di sekitar zon panas- Subang Jaya dan Shah Alam.

Encik Shafaruddin Kamaruzaman bin Osman Kayakuthy gembira dan selesa dengan pekerjaannya. Namun, dia tiada cinta. 

Dan nak dijadikan cerita, dia bertemu dengan Ema Manan, seorang gadis ceria. Namun di sebalik keceriannya, dia punya hati kaca. Silap haribulan kepala lutut hinggap kepala.

Ema Manan seorang gadis bertali pinggang hitam dalam Silat Gayung dan Silat Tempur CakraAlamMakanLampuKaca, kerana abangnya ialah seorang pendekar keris hitam bersepuh emas bernama Eman Manan. Namun, ia tiada kena mengena dengan cerita ini. Hanya untuk bacaan ringan sahaja. 

Encik Shafaruddin Kamaruzaman bin Osman Kayakuthy suka dengan penampilan Ema Manan. Ada gaya. Bawak berjalan di Publika pun tak malu muka. Encik Shafaruddin Kamaruzaman bin Osman Kayakuthy pun mengayat Ema Manan untuk menjadi teman jiwa.

Ternyata, Ema Manan pun tertarik dengan perwatakan Encik Shafaruddin Kamaruzaman bin Osman Kayakuthy. Pandai memujuk, mempunyai kumis nipis, makanan kegemaran- masakan ibu dan suka bersukan. Ciri-ciri lelaki dambaan Ema Manan.

Namun di sebalik gaya romantis Encik Shafaruddin Kamaruzaman bin Osman Kayakuthy, terdapat sisi hitamnya. Encik Shafaruddin Kamaruzaman bin Osman Kayakuthy sebenarnya ialah seorang pemecah hati ("heartbreaker" bak kata Will.i.am).

Semua ini adalah lakonan Encik Shafaruddin Kamaruzaman bin Osman Kayakuthy untuk memecahkan hati Ema Manan.

Di satu malam yang dingin, Encik Shafaruddin Kamaruzaman bin Osman Kayakuthy mengajak Ema Manan pergi ke i-City. Dalam perjalanan ke situ, Encik Shafaruddin Kamaruzaman bin Osman Kayakuthy mengambil pisau dan menikam dada lalu diambilnya hati kaca Ema Manan. Dan pecahkannya.

Encik Shafaruddin Kamaruzaman bin Osman Kayakuthy.
Encik Si Pemecah Hati.




No comments:

Followers